Déjà vu

“Kita ni, macam déjà vu..”

Kawan saya mengungkap perkataan tersebut ketika kami makan tengahari bersama-sama di suatu petang. Dia bercerita bahawa ayahnya sedang mengalami penyakit kulit yang menyebabkan seluruh badan ayahnya gatal-gatal dan sering mengadu kesakitan.

Untuk meringankan beban emosi kesakitan yang ditangguh ayah, dia bercerita kepada ayahnya tentang kisah nabi Ayub.

—–

Dejavu bermaksud perasaan yang pernah dialami sebelum ini. Ia berasal dari perkataan Perancis yang bermaksud ‘already seen’. Keadaan deja vu ialah perasaan atau keadaan yang mana dialami sekarang namun seperti ia sudah pernah dialami pada masa lampau.

Sebenarnya, déjà vu telah diungkap Allah dalam al-Quran.

Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta (al-Ankaabut, 29:3)

Ujian kehidupan kita yang sedang dialami sekarang adalah pengulangan kepada kisah orang-orang terdahulu. Samada ia berada dalam situasi yang menggembirakan seperti memperoleh sesuatu yang disukai atau mendukakan seperti kehilangan barang yang kita sayang.

Maka, kerana kita adalah déjà vu, semua peritiwa yang kita alami kini, telah termaktub dalam al-Quran. Kesakitan, Kesihatan, kehilangan, kesusahan, kemiskinan, kekayaan mahupun kegembiraan, semuanya sudah ada Allah sediakan. Tinggal kita saja mahu membelek atau tidak kitab Tuhan.

Dalam menghadapi ujian kehidupan ini, kita diberi pilihan samada mahu meneruskan atau mengalah.

Jika kita memilih untuk mengalah menghadapi ujian maka telah tersedia balasan.

Bahkan patutkah orang-orang yang melakukan kejahatan menyangka bahawa mereka akan terlepas dari azab Kami? Amatlah buruk apa yang mereka hukumkan itu (al-Ankaabut, 29:4)

Dan jika memilih untuk terus melangkah, juga sudah tertulis apa ganjarannya.

Sesiapa yang percaya akan pertemuannya dengan Allah (untuk menerima balasan), maka sesungguhnya masa yang telah ditetapkan oleh Allah itu akan tiba (dengan tidak syak lagi); dan Allah jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui (al-Ankaabut, 29:5)

Maka, jika dirimu memilih untuk tetap melangkah, teruskanlah perjuangan.

Dan sesiapa yang berjuang maka sesungguhnya dia hanyalah berjuang untuk kebaikan dirinya sendiri; sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatupun) daripada sekalian makhluk (al-Ankaabut, 29:6)

Ujian kehidupan perlu dihadapi dengan teruskan berjihad (berjuang) menahan. Menahan kesakitan dan menggandakan kesabaran kerana perjuangan itu bukan memberi untung kepada Allah, tetapi keuntungan itu kepada diri kita sendiri.

Ujian kehidupan tetap akan datang silih berganti. Sebagai panduan menghadapinya, lihat lah bagaimana umat terdahulu diceritakan di dalam al-Quran kerana kehidupan kita sekarang hanya pengulangan kisah-kisah umat yang sebelum ini. Kita hanya déjà vu.

Image result for umat terdahulu

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.